Rabu, 27 Ogos 2008

PERMATANG PAUH BUKAN ISU DOMESTIK - TAFSIRAN NASIONAL

REALITI PERMATANG PAUH

Keputusan sudah dimuktamadkan. Rakyat telah memilih calon yang mereka harapkan dapat membela kepentingan mereka untuk tempoh lima tahun ini. Maka Dato’ Seri Anwar Ibrahim sekali lagi memperolehi gelaran Yang Berhormat dan akan hadhir ke sessi persidangan Parlimen dalam uniform yang berbeza. Dahulunya sebagai anggota pemerintah tetapi kini bakal menjadi Ketua Pembangkang. Kepada yang menang diucapkan tahniah dan yang kalah pulihkan semangat untuk meneruskan perjuangan.

Penganalisis politik mungkin sudah ada yang dapat meneka keputusan awal pilihanraya kecil berkenaan. Tetapi, tidak kurang juga yang mentafsir sebaliknya berdasarkan pelbagai strategi ‘kamikazee’ yang diperkenalkan oleh BN sebagai senjata terakhir bagi menumpaskan musuh nombor satu masa kini.

Apabila keputusan diumumkan dengan perkiraan jumlah undi BN:15,524, PKR:31,195 dan AKIM: 92 undi maka semakin terpinga-pingalah jentera pilihanraya BN. Angka itu jelas menunjukkan prestasi BN bukan semakin meningkat tetapi semakin merosot sebanyak 1,426 undi. Walhal, usaha yang dibuat bukan sedikit dan perbelanjaan yang dikeluarkan juga tentulah besar jumlahnya.

Meskipun BN mengambil sikap ‘under dog’ tetapi matlamat untuk sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti PKR sepatutnya boleh dicapai. Kerana jentera BN kali ini bukanlah bertaraf ikan bilis, tetapi sudah diperingkat raksaksa. Di mana kesemua menteri Kabinet termasuk pemimpin dari Sabah dan Sarawak turut turun membantu kempen berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri sendiri sanggup berkampung di sana dari awal sehinggalah keputusan diumumkan. Membandingkan dengan kemudahan yang dimilikki oleh pihak lawan jelas scenario tentulah berpihak kepada BN. Inilah teka-teki yang perlu dicari jawapannya. Ia wajib diselesaikan dengan segera sekiranya UMNO dan BN mahu kesinambungan era pemerintahan mereka tidak segera berkubur.

Dari pengamatan yang dibuat, ternyata sumber manusia di dalam jentera BN masih berada di takuk lama. Meskipun pelbagai isu di bawa tetapi kupasan yang diberikan tidak langsung meyakinkan malah mendatangkan mual kepada bakal pengundi. Baik dari segi isu nasional seperti kenaikan harga bahanapi, tambang pengangkutan awam, kenaikan harga barang sehinggalah kepada isu-isu peribadi Anwar juga lebih meraih simpati kepada pembangkang.

Pemimpin PKR itu sebenarnya bukanlah seorang dewa yang tidak boleh ditumbangkan. Malangnya, peluru dan tentera yang digunakan merupakan order lama yang sudah tamat tempoh dan tidak lagi relevan. Ia bukan sesuatu yang sinikal, tetapi cuba amati secara yang terbuka tentunya kita akan dapati bahawa ia adalah satu fakta besar yang benar-benar tidak diberi perhatian.

UMNO dan BN memang sudah ketandusan darah muda yang berkaliber hasil dari monopoli kuasa dan kawalan tampuk hiraki yang berterusan yang diamalkan sejak sekian lama. Para pemimpin cawangan dan bahagian sudah memonopoli kepimpinan parti seperti menjadi hakmilik peribadi, keluarga dan kroni sehingga tunas-tunas baru yang berkualiti telah dicantas sebelum tumbuh berkembang.

Perkara sebaliknya berlaku di pihak pembangkang. Tokoh muda dialu-alukan, dipupuk, dibaja, disokong dan didokong sehingga mereka amat menyerlah, berani dan berkeyakinan tinggi. Dengan daya juang yang kukuh, pentas yang terbuka mereka telah didoktrin melalui falsafah perjuangan yang total tanpa imbuhan materialistik. Perjuangan pembangkang adalah dilandaskan dengan prinsip yang mesti ditegakkan tanpa kompromi. Tidak ada sebarang imbuhan besar yang diharapkan dan tidak ada jawatan yang dijanjikan, semata-mata berjuang dengan ikhlas bagi mencapai cita-cita.

Kita mesti melihat falsafah ini dengan hati terbuka kerana perubahan yang diharapkan berlaku di dalam UMNO selepas PRU12 tempohari tidak berlaku. Apa yang ada sekarang hanyalah setakat gimik semata-mata dan kita masih lagi ditakuk lama dan terus mengamalkan budaya yang sama. Lihat sahajalah perebutan yang berlaku dalam mesyuarat cawangan dan bahagian yang sedang berjalan sekarang. Inilah manifestasi sebenar situasi kepimpinan dipelbagai peringkat termasuk akar umbi.

Kalau sekadar retorik perubahan yang dicanangkan tetapi perkara sebaliknya yang diamalkan, adalah dikhuatiri era pemerintahan yang sedia ada hanya mungkin mampu bertahan sehingga PRU13 sahaja. Janganlah menafikannya atau cuba menyembunyikan kebenaran di belakang tabir.

Sekiranya UMNO masih mahu mengekalkan tampuk kuasa, ia perlu merombak seluruh struktur parti yang ada sekarang. Mungkin ramai yang masih tidak sedar bahawa ahli yang ada sekarang bukanlah di kalangan mereka yang berwibawa. Kerana golongan yang hebat sudah dicantas di peringkat cawangan lagi.

Orang yang hebat di kalangan mereka yang lemah tidak akan menjadi jaguh di kalangan mereka yang benar-benar hebat dalam ertikata sebenarnya. Ia umpama serigala yang kuat menyalak tidak akan menggentarkan harimau yang sudah bersedia untuk menerkam.

Buka mata dan minda, buka tangan untuk bersalaman, buka hati untuk menerima, buka peluang untuk berbakti dan bukannya berpolitik mencari kekayaan. Ia bukan satu cercaan tetapi lihat sahajalah politikus UMNO sendiri siapakah mereka ini, apakah kerjaya mereka, bagaimana kekayaan diperolehi, tidakkah masyarakat disekeliling boleh menilai?

Kita sudah sampai ke penghujung, tidak perlu mengekang tali dan meregang urat tengkuk bagi menegakkan benang yang sudah sedia basah. Perubahan bukan setakat logo atau motto dan tidak juga pada kata-kata. Ia perlu dipamerkan dengan fakta dan bukti kesungguhan.

Rakyat negara ini sudah mengecapi merdeka lebih setengah abad. Banyak yang sudah mereka pelajari. Ramai yang sudah tinggal di luar negara bertahun-tahun lamanya. Yang ada di negara ini tidak boleh lagi di dodoikan dengan irama yang lama. Berfikirlah di luar kepompong lama, terimalah perubahan bagi melangsungkan daya perjuangan yang sudah semakin tumpul.

Seruan untuk seluruh rakyat negara ini, kita sebenarnya tidak perlu menukar baju hanya kerana ia sudah tercemar atau terpalit noda. Mari kita bantu untuk membersihkan baju berkenaan dan laksanakan penambahbaikan terhadapnya supaya ia bukan sahaja sesuai dengan budaya yang telah tertanam sekian lama, tetapi kita perlu mengelak berlakunya agenda ‘cuba try’ sehinggakan menghasilkan tragedi seperti melanda hampir di kesemua negara jiran kita.

Tidak semestinya yang baru itu lebih baik, dan tidak semestinya juga yang lama itu buruk. Mari bersama kita adunkan yang lama dan yang baru itu supaya dapat menjadi satu. Yang lama bernilai estatik, yang baru itu gagah bertenaga dan bila digabungkannya menghasilkan produk hebat yang sudah teruji sekian lama. Bolehlah kita menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara ini secara berterusan tanpa tercebur dalam kancah kebinasaan.


BACALAH DENGAN MINDA YANG TERBUKA

TAFSIRKAN YANG TERSIRAT DARI YANG TERSURAT

Belum habis sejuk bahang yang ditiupkan oleh Majlis Peguam Malaysia, muncul pula isu memberikan kuota kepada bukan bumiputra di UiTM. Ia seperti muntahan peluru dari sebuah mesin pembunuh yang dengan rakusnya meratah seluruh keistimewaan Melayu yang termaktub di dalam Kontrak Sosial 1957.

Malang sungguh, hanya akhbar berbahasa Melayu sahaja kelihatan mahu mendokong perjuangan dengan terus menyiarkan pelbagai komentar dan keluh kesah seluruh masyarakat Melayu-Islam di negara ini. Keadaan sebaliknya berlaku pada akhbar-akhbar edisi Inggeris yang menyiarkan komentar berbeza. Meskipun dimaklumi bahawa kebanyakkan akhbar berkenaan diterajui atau dimilikki oleh orang yang sebangsa dan seagama dengan kita.

Agaknya, masih ramai lagi bangsa kita yang tidak fasih berbahasa Melayu dan tidak faham aspirasi nasional serta perjuangan mempertahankan integriti bangsa. Lantas jadilah mereka seperti ’beauty and the beast’. Terkongkong di dalam badan Melayu yang merasakan diri mereka adalah orang puteh.

Usikan Y.B Menteri Besar Selangor baru-baru ini sebenarnya bukanlah satu perkara baru. Ia disahkan oleh sejarawan ulong negara Prof. Emiritus Dato’ Dr. Khoo Kay Kim yang menyatakan bahawa kuota itu telah diperolehi sejak tahun 1998 lagi bila UiTM sudah membuka pintunya kepada pelajar bukan Bumiputra. Malangnya, ketika itu mereka sendiri memilih untuk mengisi kelonggaran berkenaan disebabkan merasa tidak selesa untuk meneruskan pengajian di dalam situasi monopoli Bumiputra.

Maknanya ’benteng terakhir Melayu’ itu sebenarnya sudah dibuka gawangnya tetapi tidak dimasuki oleh sesiapa pada ketika itu. Oleh itu, kes di atas hanyalah umpama lagu lama di dendang semula dengan menggunakan teknik ’remix’.Agaknya, mungkin ada yang ingin disampaikan oleh bekas tokoh korporat berkenaan yang tidak dapat ditafsirkan oleh orang lain.

Sebab sejarah telah menunjukkan kebijaksanaan Bangsa Melayu dizahirkan melalui adunan bahasanya yang berlapis-lapis hingga sukar untuk ditafsirkan sekiranya mereka bukan penutur jati yang benar-benar menghayati budaya Melayu.Ini berlaku disebabkan faktor sejarah yang menunjukkan terdapat kecenderungan mereka untuk menindas dan mengawal daya intelektualisme masyarakat pribumi untuk kepentingan kolonialisme.

Oleh itu, bagi menghantar mesej para pejuang dan pemikir masa itu telah mencipta mesin bahasa bagi menyirat maksud yang dikenali sebagai teknologi ’encryption’ pada masa kini bagi menyembunyikan perkara sebenar yang ingin disampaikan. Kajian khusus yang telah dibuat oleh penulis membuktikan bahawa cerita-cerita rakyat seperti Mat Jenin, Pak Pandir, Pak Kaduk, Si Luncai dan sebagainya membawa mesej-mesej tertentu bagi menjana aspirasi rakyat di pelbagai peringkat.

Disebabkan penjajah tidak terdidik dengan budaya setempat maka segala mesej yang tersirat di dalam cerita-cerita berkenaan gagal mereka rungkai sehingga akhirnya semangat kemerdekaan berjaya disemarakkan dan kita mampu membebaskan diri dari taklukan mereka. Melucukan, sebahagian besar dari bangsa kita yang terdidik dalam acuan barat nampaknya terjerumus dalam sindrom yang sama bila mereka juga gagal memberikan tasiran yang benar kepada maklumat-maklumat yang sudah ditanamkan di dalam cerita rakyat berkenaan untuk dijadikan pengajaran.

Kini, masanya telah tiba bagi kita semua untuk melihat mesej-mesej yang cuba dihantar oleh para pemimpin bangsa Melayu ini tanpa mengira platform politik mereka. Kerana ada kemungkinan apa yang dikata bukanlah seperti apa yang dicita. Jangan segera melompat kerana orang yang gopoh selalu silap dalam membuat keputusan.

Justifikasi mudah bagi analisa ini adalah melihat rentetan-rentetan peristiwa yang berlaku sebelumnya dan wawancara dalam berita yang disiarkan oleh media elektronik muttakhir ini termasuk dengan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir sendiri. Kelihatannya mantan Perdana Menteri berkenaan yang pernah mempopularkan analogi ’Melayu mudah lupa’, ’bangsa subsidi’, ’menghapuskan budaya tongkat’ dan seumpamanya jelas menuturkan bahawa isu kuota UiTM itu dibincangkan tidak kena masanya. Kata-kata itu jelas menunjukkan bahawa pembukaan kuota 10 peratus yang pernah beliau laksanakan pada tahun 1998 itu tidak molek dibincangkan ketika ini.

Mari kita undurkan fokus kita kepada waktu-waktu terakhir kepimpinan Mahathir yang telah melucutkan keistimewaan biasiswa dan menggantikannya dengan pinjaman PTPTN. Hasilnya, jadilah anak bangsa kita sebagai generasi berhutang sebelum sempat memulakan kerjaya. Pendekata, sebagai murid perguruan silat mereka telahpun kecundang sebelum sempat bertarung. Walaupun ada yang mampu membayar tetapi lebih banyak yang melarat kerana terpaksa menanggung hutang berganda kerana gagal meraih pekerjaan dalam tempoh yang ditetapkan. Malah mungkin tidak lama lagi akan wujud gejala keluarga bankrap yang terdiri dari anak, bapa dan seluruh keturunan Melayu diselimuti title si bankrap.

Kita lihat juga mengenai Dasar Ekonomi Baru, Konsep Payung, Mentor-mentee dan sebagainya yang pernah dinikmati oleh usahawan Bumiputra telahpun dimansuhkan secara licik tanpa ramai yang menyedarinya. Atas dasar mewujudkan budaya bersaing dan tidak mahu dicop sebagai bangsa subsidi maka semua keistimewaan di atas kita relakan terhakis.

Isu-isu besar yang berlaku yang menghimpit masyarakat pribumi kini sebenarnya adalah satu serangan yang berterusan semenjak zaman sebelum merdeka lagi. Oleh itu, apa sahaja komentar yang dibuat oleh para pemimpin kita pada masa ini perlu ditafsirkan dengan teliti supaya kita memahami apa yang cuba mereka ketengahkan.

Mungkin disebabkan oleh geo-politik masa ini, mereka tidak mampu menyatakannya secara berterangan tetapi merembeskannya dalam cara yang sinis, tajam dan pedih. Sepertimana ibu bapa yang terpaksa mengherdik anak-anak yang tidak semestinya mereka marah atau membencinya kerana anak-anak itu adalah zuriat mereka sendiri.

Pulanglah dalam kepompong bangsa sendiri, buat tafsiran serta sediakan agenda bertindak yang lebih mantap dalam menghadapi cabaran terhebat era globalisasi kini. Dalam Islam kita boleh bertaklik, kita boleh mengikut cara mazhab yang berbeza demi memuktamadkan agenda. Ia telah kita pelajari dan amalkan sewaktu menunaikan fardhu Haji dan kenapakah kita tidak mengambil iktibar daripadanya.

Dengan kata lain, kecilkan pra sangka, jauhkan buruk sangka, elakkan sengketa dan teruskanlah perjalanan dengan semangat ukhuwah yang tinggi. Masih banyak yang perlu diperjuangkan, masih jauh jalan yang dituju, sekiranya kita sudah berpecah-belah dan gagal menyatukan hasrat yang untungnya tentulah musuh. Bukakanlah minda untuk membaca segala mesej dan pengajaran dari segala macam kejadian muttakhir ini agar kita tidak mudah terjerumus dalam jerat yang di pasang oleh golongan yang menjadi musuh dalam selimut.


TAFSIR SEMULA SEJARAH

SEJARAH NEGARA PERLU DITULIS SEMULA

Muttakhir ini, kelihatan seperti satu kecenderungan untuk mendebatkan perkara-perkara sensitif yang selama ini telahpun diterima menjadi teras negara semenjak ia mencapai kemerdekaan. Ini termasuklah perkara-perkara seperti kontrak sosial, dan ketuanan Melayu.

Walhal, sebelum ini ia tidak pernah di bicarakan secara terbuka. Malahan sudah sedia dimaklumi dan diterima semua ahli masyarakat negara ini tanpa mengira asal, warna kulit, bangsa, keturunan dan agama. Kerana itu, kerharmonian negara ini sering dicemburui dan dijadikan teladan dalam menguruskan masyarakat majmuk berbilang bangsa agama dan keturunan oleh lain-lain negara.

Ini mungkin berlaku disebabkan kejahilan sejarah dan kegagalan sistem pendidikan negara. Ia sepatutnya memberikan ruang khusus untuk mewujudkan kefahaman mengenai negara kita melalui persfektif yang betul tanpa sebarang sentimen.

Pada tanggapan kebanyakkan generasi muda ketika ini, sejarah Malaysia hanya bermula pada tahun 1957. Kerana itulah, ramai di antara mereka kini yang secara dangkalnya mula menghujahkan pelbagai perkara asas seperti ketuanan Melayu dan kontrak sosial secara membuta tuli. Agaknya, kebanyakkan mereka lupa bahawa hak itu sepatutnya ditimbulkan oleh pribumi dan bukan sebaliknya.

Patut di sedari bahawa lama sebelum kewujudan Malaysia yang diikrar dalam deklerasi merdeka, telah wujud di sini sebuah Negara berdaulat. Hanya atas sikap kemaruk penjajahlah yang mengakibatkan kita terpaksa menggadaikan banyak prinsip dan kepentingan bagi memperolehi semula kemerdekaan.

Kerana itu rakyat perlu tahu bahawa sejarah negara bangsa ini sepatutnya terbahagi kepada 3 fasa. Fasa pertama merupakan pra-sejarah, kedua: pra-merdeka dan ketiga: selepas merdeka. Oleh itu, setiap hujah dan apa sahaja yang ingin dibincangkan konteksnya adalah merujuk kepada asas negara bangsa yang asal.

Agak malang bagi kita, kerana dokumentasi sejarah negara amat terhad. Malah apa yang kita ada kini hampir kesemuanya bersumberkan kajian orientalis barat. Selain dari itu, dokumen lain yang boleh digunapakai untuk rujukan zaman pra-merdeka adalah Sejarah Melayu atau Kitab Salalatus Salatin hasil tulisan Tun Sri Lanang pada sekitar tahun 1612 dan Hikayat Abdullah yang ditulis pada tahun 1919.

Melalui tulisan Tun Sri Lanang dan Abdullah, ia lebih merupakan himpunan pelbagai hikayat yang banyak bercampur antara fakta, metos dan legenda. Sebab itu ia tidak diiktiraf sebagai sejarah mengikut piawaian barat. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana orientalis barat sebenarnya merupakan sebahagian daripada jentera kolonial untuk melaksanakan missi menakluk, menjarah, menjajah, memanipulasi dan memonopoli ekonomi negara yang dijajah.

Sikap penjajah adalah serupa dimana sahaja. Mereka akan cuba menghakis jatidiri masyarakat yang dijajah dengan strategi yang tersusun untuk membenamkan fakta sejarah setempat melalui tindakan yang bersistematik. Ia amat perlu bagi mengawal sentimen setempat supaya tidak wujud semangat penentangan.

Agenda berkenaan kita lihat dengan jelas melalui tindakan yang dicatit oleh Abdullah melalui Hikayat Abdullah tentang kelakuan Tuan Rafles yang kerjanya mengumpulkan catitan, kitab-kitab dan buku-buku tempatan:

“..Dan lagi pula orang yang membawa kitab dan hikayat Melayupun, entah beberapa ratus jenis tiadalah aku teringat. Hampir-hampir habis surat-surat Melayu, yang beberapa zaman daripada harta nenek moyang, sekelian habis dijualkan, di bawa orang dari mana-mana, sebab mendapat harga yang baik. Habis dijualkan, tiadalah sedarkan orang-orang yang di belakang kelak menjadi bodoh, satu suratpun tiada, yang hendak dibaca dalam bahasa sendiri kerana kitab-kitab itu semua tulisan tangan, jikalau kitab dicap tiada mengapa. Maka tiadalah benihnya sampai sekarang”.

Usaha ini mestilah dibuat dengan niat tertentu. Hasil tindakan berkenaan, kini kita begitu sukar menemui rekod berbentuk tulisan mengenai sejarah negara untuk dijadikan rekod rujukan dalam memahami sejarah sebelum merdeka.

Sebagai ganti, kita telah disogokkan dengan fakta-fakta hasil tulisan orientalis sendiri seperti Winstedt, Shellabear, M.G Emeis, J.M Gullick dan seangkatan dengannya. Melalui tulisan mereka kita telah disogok dengan fakta-fakta yang diilham, ditulis dan dirombak dengan agenda-agenda yang telah ditentukan oleh mereka sendiri.

Kerana itu pejuang dan pahlawan tempatan yang telah dijelmakan sebagai penderhaka, pemberontak, pengganas, lanun dan pelbagai gelaran yang berkaitan dengan budaya ganas serta anti-establishment. Tanpa ragu, sehingga kini generasi selepas merdeka masih menyetujuinya tanpa sebarang tindakan di ambil bagi membetulkan keadaan.

Semenjak sekolah rendah hingga ke Institusi Pengajian Tinggi semua bahan bacaan kita telah disediakan mengikut acuan mereka. Malah selepas setengah Abad merdeka akal, fikiran, nurani dan jiwa kita masih terbelenggu. Kita masih terjebak dengan ilham dan ajaran yang diciptakan itu. Kadangkala kita terjumpa anak bangsa yang lebih barat daripada masyarakat barat sendiri, baik dari sikap, perbuatan, percakapan, cara berfikir, cara makan malahan lebih melucukan mimpipun masih dalam acuan‘western’.

Sehingga kini, masih belum terdapat tidak satu usaha yang bersungguh-sungguh, tersusun dan komited dalam mentafsir dan menulis semula sejarah negara menurut acuan sendiri. Kita khuatir, dalam mendepani pembangunan dan era globalisasi yang semakin kompleks kita akan terjerumus dalam kancah hilang arah.

Ia disebabkan lupa pada asas utama sesuatu Negara yakni jati diri. Perkara ini kelak akan menjadi ancaman dalaman yang mana, keutuhan negara akan mula goyah. Maka banyak anasir mengambil kesempatan terhadapnya dengan menimbulkan pelbagai fakta khilaf yang tidak dapat dengan mudah kita rungkaikan sebab kegagalan menjelaskan fakta dengan berkesan.

Adalah tepat pada masanya, dengan kesedaran yang semakin meningkat kita perlu mengatur langkah untuk kembali ke akar umbi dalam mewarnakan semula jati diri bangsa. Penyerlahan jati diri ini boleh diterapkan terus melalui pelbagai program samada berbentuk samaada wacana, bengkel, penulisan semula sejarah, dan khidmat negara melalui modul-modul tertentu yang dirangka dan dibina khusus untuk mewujudkan kembali semangat anak Malaysia.

Kita tidak mahu menjadi seperti negara Amerika yang hebat dari segi teknologi dan material tapi hancur dari segi sahsiah diri. Gagal menangani kehidupan dan terjerumus dalam hidup tanpa arah.

Sekiranya kita mahu menjadi bangsa yang dihormati, dan pada masa yang sama tidak pula dituduh menjadi perampas hak asasi lain-lain bangsa maka kita perlu menulis semula sejarah negara ini berdasarkan fakta yang betul dan tidak dipengaruhi idealisme barat. Kerja-kerja penyelidikan perlu dilakukan dengan agresif. Peruntukan perlu diberikan, galakan patut dibuat untuk mewujudkan dimensi baru sejarah negara.

Hanya kita yang berhak melakar sejarah negara ini, bukan penjajah yang menyogok dengan licik fakta palsu sehingga kita hilang arah. Kita khuatir, sekiranya ini tidak dilakukan sekarang, negara ini tidak akan dapat terus maju ke hadapan kerana sentiasa dihambat dengan pelbagai tuntutan tidak berasas akibat kegagalan mengenal sejarah.

Kita telah saksikan betapa negara Iraq, Afghanistan, dan Palestin diperbudakan dengan mudah. Bangsa Arab yang melahirkan para Anbia, cendikiawan terbilang satu ketika dahulu kini merintih di bumi sendiri akibat gagal mengekalkan kegemilangan mereka. Baghdad yang pernah menjadi kota ilmu, Afghanistan yang banyak melahirkan para pahlawan terbilang kini saban hari diaib, dihina dan ditindas sesuka hati.

Masih belum terlewat. Kita masih beruntung dengan kestabilan ekonomi dan politik negara yang sentiasa memberikan kita ruang untung membuat pembaharuan. Telah tiba masanya kita perlu memulakan langkah pro-aktif dalam membentuk sahsiah kekuatan dalaman generasi muda negara bagi menentang arus kolonialisme bentuk baru ini. Adalah diyakini, sekiranya generasi muda negara diberi pendedahan yang benar berasaskan fakta mereka akan merasa bangga menjadi warga Malaysia dan bersedia berkorban harta dan nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara.

Semoga selepas ini segala catitan sejarah dan buku-buku berkaitan negara ini akan mempunyai dimensi baru. Disediakan, dan ditulis oleh sejarawan kita serta mengikut kacamata dan acuan negara kita. Hanya juhari yang mengenal manikam. Biarlah sejarah negara ditulis dengan cara yang lebih jujur tanpa sebarang muslihat yang tersembunyi. Semoga selepas ini Maharaja Lela bukan lagi dilabel sebagai penderhaka, Mat Kilau, Dato’ Sagor dan ratusan nama lagi memperolehi pengiktirafan yang sewajarnya. Wahai Malaysia, janganlah negara telah merdeka tetapi warganya masih terjajah minda dan jiwanya.